Monday, September 07, 2009

LAYARI BLOG TERKINI & TERBARU

PEMBERITAHUAN
SILA LAYARI BLOG BARU SAYA DI

http://brohamzah.blogspot.com


SEKIAN SEMOGA IA BERMANFAAT UNTUK KITA SEMUA

Tuesday, December 30, 2008

BLOG BROHAMZH DIHENTIKAN

Dunia Realiti Itulah Medan Amal kita.
Oleh : BroHamzah




31 Disember 2008 sehari sebelum 1 Jan 2009


Post yang ke 405, Alhamdulillah setelah sekian lama saya berkongsi dan menulis di Blog ini akhirnya, Blog ini akan berhenti disini sahaja. Bermula tahun 2005 sehingga kini, Blog ini telah banyak membantu saya untuk melatih kemahiran penulisan saya.


Secara umumnya, ketika peringkat awal membina blog ini saya menyimpan hasrat agar suatu hari nanti rakan-rakan dan teman-teman yang lain akan turut menjadikan Blog sebagai salah satu medium perkongsian dan sebaran kebaikan di alam maya ini. Alhamdulillah, kini telah ramai yang mempunyai Blog sendiri. Saya rasa gembira sekali. Matlamat kewujudan blog ini secara umumnya telah tercapai.


Saya akan tinggalkan Blog Brohamzah di sini. Saya tidak akan remove kannya dari alam maya ini. Biarlah segala kenangan dan segala tulisan saya kekal di sini. Saya tidak akan usik dan mengubah apa-apa selepas ini. Blog ini telah menjadi penguat tekad dan motivasi suatu ketika dahulu.Dan ia akan terus menjadi penguat kepada saya.


Selepas ini, anda boleh membaca artikel2 yang lepas. Mungkin ada suatu baru yang boleh diperolehi walaupun sudah membacanya. Bacalah dengan niat untuk mendapat ilmu dan kebaikan.InsyaAllah saudara akan meperolehinya.


Saya memohon maaf andaikata terdapat tulisan saya yang melukai dan meyakiti mana-mana pembaca. Semoga Allah rahmati kalian.


Saya menghargai komen dan pandangan setiap pembaca. Kalian amat baik hati.Terima kasih.Semoga BLOG BROHAMZAH ini sentiasa membawa MANFAAT kepada sesiapa sahaja.


Selamat Tinggal Blog BroHamzah.

Sekian,

BroHamzah JR

Thursday, December 11, 2008

JAULAH INDONESIA ( JUNDI'08)


Aktiviti OutBound

Kami bersaing



Meniti Buluh


Tiup bang jangan tak tiup..


Tiup lagi


Kenangan Terindah


Kemana Menghilang?

Saya menghilang dari Malaysia selama 9 hari. Satu tujuan satu hasrat. Lawatan ke INDONESIA memberi pelbagai pengalaman kepada saya. Seramai 17 orang, kami delegasi dari Malaysia mengembara mencari SESUATU di sana. Namun bagi saya, jaulah ini telah membawa ERTI yang cukup besar kepada saya terutamanya dalam memahami ERTI tarbiyah amaliyah, ukhuwah fillah dan dakwah illah. Saya kongsikan gambar. Nantikan coretannya

Pewaris Bersatu Hati


Pewaris Bersatu Hati


KMK atau nama penuhnya Kem Minda Kreatif telah mencapai usia lapan tahun sejak penubuhannya pada tahun 2000 iaitu Kem Minda Kreatif 1(KMK 1). KMK kali ini ialah KMK yang ke 12. Bertempat di Pusat Kokurikulum Jabatan Pelajaran Pulau Pinang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, selama 3 hari iaitu 28 hingga 30 November 2008. Pada kali ini KMK12 membawa tema ‘Pewaris Bersatu Hati’ yang membawa maksud, generasi muda pada masa kini perlu bersatu hati dan bekerjasama dalam membina Ummah Islamiyah yang cemerlang pada masa akan datang.


Seramai 211 peserta, 85 lelaki dan 126 perempuan memeriahkan Pusat Kokurikulum tersebut dengan aktiviti-aktiviti yang menarik disediakan untuk mereka. Program bermula dengan pendaftaran pada pukul 2.30 hingga 3.30 petang di dewan makan Pusat Kokurikulum tersebut. Selepas itu sesi perasmian menyusur dengan ucap mula disampaikan oleh En. Husaini bin Abdullah, penolong pengarah Pusat Kokurikulum. Aktiviti seterusnya, ialah taklimat KMK 12 oleh Kem Komanden iaitu Saudara Farid Ismail serta penolongnya Muhammad Rafhan Ridha Mohd Diah dan Zaneerah Arifin. Antara penekanan yang diberikan semasa taklimat tersebut ialah, Lagu Tema KMK 12 iaitu Satu Hati, kekemasan dan kebersihan, ketepatan masa, tugasan yang perlu dibuat, arahan yang mesti dipatuhi serta akhir sekali pembahagian kumpulan.


Seterusnya pada malam hari diikuti dengan slot bersama Cikgu Shafie iaitu Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul, Pulau Pinang. Tajuk yang dikupas oleh beliau merupakan satu tajuk yang sangat penting bagi para remaja iaitu ‘bersatu hati dalam menghadapi cabaran era globalisasi’. Pada pukul 10.30 peserta diisi dengan ‘ice breaking’. Antara aktiviti yang dibuat adalah ‘coretan OKU’ dan ‘line tak clear’. Setelah tamat aktiviti pada malam itu, setiap kumpulan ditugas menjalankan aktiviti katibah (berjaga waktu malam) mengikut giliran yang ditentukan.


Pada hari yang kedua, sesi bergambar beramai-ramai dijalankan di bawah awan kelabu dalam siraman manic-manikhujan renyai-renyai. Seterusnya, disusuri dengan aktiviti LDK; peserta dikehendaki membuat logo kumpulan dan slogan. Seterunya, pembentangan kumpulan. Kemudian peserta perlu merancang persembahan yang akan dilaksanakan pada malam hari. Pada tengah hari, peserta memasak mengikut kumpulan masing-masing. Pada sesi sebelah petang pula, 2 aktiviti menarik iaitu merentas halangan dan menjalankan aktiviti di ‘check point’ yang disediakan. Aktiviti yang lain antara lain aktiviti yang dijalankan ialah ‘sambut sama’ – peserta dikehendaki menyambut belon yang mempunyai air, dan ‘apom balik’-peserta dikehendaki berdiri di atas kain (batik/pelekat) dan salah seorang perlu membalikkan kain tersebut tanpa kaki mencecah di atas lantai.


Sebelah malam pula, peserta perlu membuat persembahan seperti, dikir barat, nasyid, lakonan dan sebagainya. Setelah persembahan, aktiviti seterusnya ialah, ‘night safari’. Peserta dibawa berjalan di sekeliling tapak program dengan mata tertutup dan perlu menempuh beberapa ‘check point’.


Keesokan harinya, selepas sarapan, diadakan sesi ‘sharing moment’ bersama dengan Makcik Ani (Prof. Madya Noraini, pensyarah UiTM Perlis). Diikuti dengan gotong royong membersih kawasan sekitar. Akhir sekali majlis perpisahan dilaksanakan dengan penyampaian sijil, cenderamata dan hadiah kumpulan terbaik yang disempurnakan oleh Cikgu Zulkifli Zakaria, wakil KeARAH Perak, Tuan Haji Husaini dan Cikgu Ghazali Saad, penyelaras KMK12 . Sebelum berpisah, sesi ‘salam semut’ diadakan antara peserta, fasilitator, urus setia dan urus setia induk KMK12. Dari al-Barraa' bin Azib r.a., katanya telah sabda Rasulullah s.a.w.:"Tidaklah dua orang Islam bertemu lalu saling bersalaman/berjabat tangan, melainkan diampuni dosa keduanya sebelum mereka berpisah."(HR Abu Daud, al-Tarmizi & Ibnu Majah). Semoga bertemu KMK yang seterusnya pada masa akan datang.
Nantikan gambar-gambarnya...

Sunday, November 23, 2008

Berhati-hati Dalam Meniti Kehidupan


BERHATI-HATI DALAM MENITI KEHIDUPAN

Oleh : BroHamzah
brohamzh@yahoo.com
http://brohamzh.blogspot.com

Untuk mereka yang menajamkan diri pada jalan ini…Ketika jiwa merasai kepedihan, kesakitan atau kekosongan mungkin anda perlu menanyakan diri tentang "kesibukan" kita dalam beramal dalam medan gerak kerja..


Coretan ini coretan yang terakhir untuk cuti yang berbaki ini. Itu yang saya dapat rasakan. Cuti kali ini cuti untuk saya jadikan sebagai turning point untuk terus melakukan peningkatan pada diri. Peningkatan yang holistik pada diri, iman, gerak kerja, kerjaya dan seterusnya kehidupan.

Cuti yang panjang perlu dipenuhi dan disibukan dengan pelbagai aktiviti yang mendatangkan “untung” pada diri. Kekadang diri ini rasa hairan dengan mereka-mereka yang lebih memilih untuk BERSANTAI dan BEREHATAN tanpa kerja-kerja atau aktiviti-aktiviti yang jelas tujuannya. Mungkin tuntutan jiwa suka kepada perkara yang MENYENANGKAN daripada KESIBUKAN dan KESUSAHAN. Tetapi, bersantaian dan lopongan waktu tanpa kerja adalah satu penyakit yang akan melalaikan dan boleh membawa kepada satu angan-angan yang kosong dan boleh memupuk sikap lemah tekad serta keazaman. Mungkin tidak keterlaluan untuk dikatakan ia boleh menjadi BARAH yang membahayakan. Ia boleh membunuh jiwa dan perasaan manusiawi. Ini benar-benar BARAH!!

Masa dan waktu saya, banyak yang kosong dan tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya. Bertahun lamanya,saya cuba memanfaatkan masa yang diberikan dalam hidup, 365 hari, 58 minggu dan 24 Jam sehari dibiarkan berlalu dengan aktiviti tanpa arah dan tujuan yang jelas. Saya selalu beralasan saya sibuk apabila diajak untuk aktiviti-aktiviti yang sepatutnya saya lakukan dan laksanakan.


Mungkin benar kata seorang sahabat saya “ Satu ALASAN yang akan merosakan kita apabila kita selalu MENYATAKAN kita ini SIBUK.”


Ramai orang sibuk, tetapi dia sendiri tidak sedar dengan apakah ia disibukkan. Saya semakin bimbang dengan perkara SIBUK. Sibuk benarkah aku ini? Jangan berasalan sibuk jika kita tidak tahu ERTI dan MAKNA kesibukan yang sebenar. Bak kata seorang adik kepada saya ketika saya mengalami fenomena "sejuk dan down" seketika :

“ Abang, kita SIBUKKAN diri kita dengan program dan aktiviti yang MEMBINA .”

Saya cemburu melihat mereka-mereka yang banyak melakukan kebajikan dan khidmat masyarakat yang tersusun dan terarah. Saya cemburu melihat mereka yang GHAIRAH dan BERSEMANGAT apabila melakukan sesuatu kerja dan aktiviti. Seronok dengan gerak kerja mereka dan mereka kelihatan berada dalam “kebahagian” yang sebenar. Mereka seolah-olah lupa akan tuntutan pada diri sendiri kerana SIBUK membantu orang lain. Ya, benar sekali keseimbangan dalam beramal itu satu KEPERLUAN. Namun, melihat kerja-kerja mereka yang mempunyai HIMMAH yang tinggi dan BERJIWA BESAR ini, membuatkan saya ingin BERSAMA dengan mereka sepanjang masa.

Namun, manusia ada masa “naik” dan masa “turun”nya. Kita ingin mendidik manusia dan insan. Bukannya ingin mendidik malaikat. Ketika kita “down”, lemah dan jiwa dihimpit kekosongan, pada saat itu hati kita amat-amat berhajatkan sesuatu HEMBUSAN yang mampu untuk menguatkan jiwa itu kepada semangat yang tulen dan kembali kepada FITRAH asalnya. Ketika itu, kekuatan kita benar-benar teruji. Seolah-olah ujian dan cabaran yang datang mencengkam jiwa dan hati dengan cengkaman yang meruntun segala perasaan yang bermain dalam fikiran dan hati.

Rancanglah masa anda. Laksanakanlah apa yang dirancang. Pantaulah dan nilailah kembali pada yang dilaksanakan.

Merancang, melaksanakan, memantau dan menilai balik perancangan yang telah dibuat adalah sesuatu yang MESTI dilakukan dalam meniti kehidupan ini. Dengan adanya matlamat yang jelas, kita lebih ghairah untuk meniti kehidupan dengan bersungguh-sungguh dan berhati-hati. Kesilapan yang lalu, jika boleh jangan diULANGI. Amat malang seorang mukmin yang sentiasa melakukan kesalahan dan kesilapan yang berulang.

BERHATI-HATILAH DALAM MENITI KEHIDUPAN..

“ Tanpa kenal lelah jemu, sampaikan FIRMAN Tuhan mu.” ~ Sang Murrabi


Saturday, November 22, 2008

SKWS



SKWS 1991-1997
Oleh : BroHamzah
brohamzh@yahoo.com
http://brohamzh.blogspot.com/


Sewaktu mengemas bilik setor di rumah sebentar tadi, aku terpandang sesuatu. Sebuah buku yang telah lusuh dan pudar warnanya.

“ Autograf.”

Aku membuka helaian demi helaian. Catatan dimuka surat pertama tercatat “ Kenangan SKWS.” Aku tersenyum, terkenangkan sebuah peristiwa yang tidak mungkin dilupakan.

Sekolah Kebangsaan Wakaf Stan. (SKWS) adalah sekolah sewaktu di alam persekolah di peringkat rendah. Banyak perkara yang aku pelajari. Buku yang aku jumpai itu adalah buku himpunan kata-kata nasihat guru-guru SKWS sebelum aku meninggalkan sekolah tersebut.

“ 20.11.1997.”

Seingat aku itu, itu tarikah terakhir persekolahan alam sekolah rendah. Buku itu aku dapat sebagai hadiah penghargaan daripada pihak sekolah rasanya. Ingat-ingat lupa. Kemudian aku berpakat dengan rakan yang rapat dengan ku untuk mengumpulkan autograph guru-guru SKWS. Kami setuju. Kalam nasihat mereka sentiasa aku ingat. Sudah lama buku itu hilang daripada simpananku, rupa-rupanya tersimpan di dalam stor rumah. Aku belek helaian demi helaian. Tercatat nama guru bagi setiap kata-kata.Kata-kata guru adalah penyuntik semangat untuk terus berjaya dalam pelbagai lapangan. Terima kasih guru.

Kata-kata Nasihat
“ Muridku, ilmu adalah perkara utama bagi pelajar. Carilah ia di mana sahaja. Dengan azam yang kuat dengan semangat yang kukuh, kejayaan InsyaAllah akan tercapai.”
-PEK HEM-

“Ali Irfan, Sesungguhnya tanpa pengorbanan tiada kejayaan.Oleh itu cari dan berkorbanlah hari ini demi kejayaan hari esoknya. Jadilah insane soleh kelak hidup Ali Irfan diberkati.Selamat Maju Jaya.”
Dari
-Cikgu Wan Norizan –

“ Ilmu itu ada di mana-mana, ibarat pepasiran di pantai. Tetapi ilmu yang berguna ibarat permata di dalam perpasiran itu.”
Selamat Berjaya
Dari
- Cikgu Anuar Omar-

“Daripada Guru SKWS, Belajar bersungguh-sungguh. Utamakan budi bahasa dan keimanan yang utuh. Jangan lupa sembahyang walaupun di saat-saat genting. Jadi lah muslim yang soleh yang selalu mengingati Allah. INGAT : Buat amal sebagai bekalan ke akhirat. Cikgu percaya anda akan menjadi muslimin yang soleh. Salam bahagia dari cikgu dan selamat dunia dan akhirat.”
Yang selal mengenang wajahmu kerana menyerupai anak cikgu
- Zawiah Mohd-

“ Belajar demi kejayaan hari esok. Sesungguhnya ilmu adalah pelita hati . Pelajari dan amalkanlah ilmu yang ada supaya kelak menjadi insan yang bertakwa. Ilmu tanpa amal , ibarat pohon tanpa daunnya . Cikgu doakan agar kamu menjadi seorang mukmin sejati .
Sekian
Dari Gurumu
SKWS 1997
- ‘Abidah Hani Bt Haji Ismail –

“Muridku, Ingatlah : Merancang terlebih dahulu dalam menjalankan satu satu pekerjaan ; bermakna hampir separuh pekerjaan itu telah selesai.” Belajarlah rajin-rajin supaya mendapat segala yang di cita-citakan.”
Maaf Zahir dan Batin
Ikhlas dari Gurumu
-Maimunah Hj Zakaria –

“ Dear Ali, Cuba kita renungkan sejenak. Sedangkan cakarawala tidak pernah mungkir pada kewajipannya.. Maka jadilah insan yang berhati mulia, pintar dan cerdas serta memahami hati dan perasaan orang lain.InshaAllah.”
Be Happy always dan take care your self.
-Cikgu Halim-

“ Bismillahirahmanirahim, Muridku! Selamat menempuh alam remaja dan perjalanan hidup yang penuh cabaran. Semoga mencapai kejayaan yang gemilang!.”
-Yahya B. Yusoff-
PK Ko Kurikulum

“ Ali Irfan, Ilmu itu pelita hidup. Maka terangilah ia dengan belajar tanpa jemu. Kejarlah ia sehingga peringkat yang lebih tinggi.”
Semoga Berjaya!
-Cikgu Tuan Kamariah-

“Dear Ali!
What I’m going to jot here are things that I hope you can bear in minds.
Leaving the children life is a must. Whether you succeed or not depends totally on you.
So, I hope,
- Always remember Allah the mighty god!
- Well behave
- Show respect to the elders
- Keep on study for all the revealed and acquired knowledges
- May you achieve your ambition and run a good life.
-Sir Ruzaidi b. Ismail-

Itulah sebahagian yang sempat aku salin balik dari buku yang aku jumpai tadi. Kata-kata, nasihat dan peringatan untuk diriku itu adalah satu yang amat berharga buat diri. Terima kasih cikgu-cikgu SKWS kerana mendidik dan mengajar mengenal ABC sehinggalah mengenal kehidupan itu sendiri.
Jasa Guru

“ Selepas ini, kamu semua akan melupai kami disini.” Kata Cikgu PK HEM pada kami satu kelas.


“ Tidaklah cikgu,” Jawab kami serentak.


“ Mana mungkin!!.” Kata seorang rakan saya pada Cikgu.


“ Cikgu cakap berdasarkan pengalaman. Kamu lihat la nanti. Apa pun, cikgu sentiasa mendoakan kamu semua.” Kata Cikgu mengakhiri kelas pagi itu.

Ternyata, hari ini ada benar kata-kata Cikgu HEM aku. Aku sendiri hampir melupai kesemua guru-guru sekolah rendahku. Mungkin kerana masa. Masa yang sudah berlalu. Yang tinggal hanya memori samar-samar di minda ini. Sebagai ingatan ikhlas,aku coretkan semua ini untuk kalian. Satu lagi mungkin juga kerana faktor tempat, aku sudah berpindah meninggal bumi Kelantan.

“Ingat Motto SKWS dimana sahaja kamu berada : “ Setiap Kecemerlangan Wawasan Sekolah.” .”Ujar Guru besar padaku semasa berada dalam biliknya 11 tahun yang lalu.

“ Terima kasih, Cikgu.” Aku menjawab sambil tersenyum kepadanya.
SKWS – Setiap Kecemerlangan Wawasan Sekolah.

Monday, November 17, 2008

Nakal Moden - Catatan Santai


Nakal Moden – Catatan Santai
Oleh : BroHamzah
brohamzh@yahoo.com
http://brohamzh.blogspot.com/

“ Assalamualaikum, Abang. Saya harap abang dapat membantu saya. Saya takut tengok perangai kawan-kawan satu batch dengan saya. Mereka dah pandai bercouple dan berjumpa di pekan. Dan macam-macam mereka buat. Saya harap abang boleh membantu.” Satu mesej masuk dalam inbox saya.

“ Kepada abang yang dihormati, Di sini saya ada satu masalah untuk dikongsikan dengan abang. Saya harap abg sudi membantu saya. Saya ingin berubah tetapi kawan-kawan selalu ejek saya. Mereka selalu kata ; “ Ko ini skema la!.” Harap abang boleh bantu saya.” Satu pucuk surat saya terima baru-baru ini dari seorang adik yang pernah hadir kem yang saya anjuri.

“ Assalamualaikum Abg. Apa khabar? Harap sihat.Saya ingin berkongsi sedikit masalah dengan abang. Harap abang sudi meluahkan masa dengan saya.” Yahoo Messeger saya disapa oleh seorang adik yang saya kenali.

Bermula cuti sekolah, selalunya adik-adik dan para peserta program yang selalu saya anjurkan bersama sahabat-sahabat saya akan menghubungi saya. Selalunya melalui SMS, emel ataupun YM.Saya sentiasa ingin akrab dengan mereka. Hubungan ini terbina kerana satu matlamat yang satu. Kerana Allah SWT dan kerana ingin bantu-membantu.

Namun sejak akhir-akhir ini, terdapat satu trend yang membimbangkan. Adik-adik banyak meluahkan permasalahan mereka dan rakan-rakan mereka. Alhamdulillah, Allah SWT memberikan sifat peka dan prihatin dalam diri mereka. Mereka bimbang dengan segala salah laku dan akhlak yang tidak baik yang menular di sekeliling mereka. Itu tanda iman yang subur dan sensitive bukannya iman yang mandul. Namun, apa yang boleh mereka lakukan untuk membaiki keadaan ini?

Bimbangnya saya, kerana banyak perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh generasi adik-adik yang masih merangkak untuk mengenal dunia telah berlaku. Saya tidak berhajat untuk menyatakannya di sini. Cukuplah ia tersimpan dihati dan Kabul ini.

“ Zaman sekarang, budak-budak dah lain dah. Sekarang ini nakal mereka tak sama dengan nakal kita dulu-dulu. Nakal Moden.” Seorang sahabat saya member pandangan. Sesi kami berbincang berkisar permasalahan para pelajar di sekolahnya.


Saya termenung jauh. Merenung masa depan yang belum pasti. Apa peranan saya untuk membantu mereka?Jika anda, apa yang akan anda lakukan?